Happily Ever After

Daisypath Anniversary tickers

Our Precious Princess

Daisypath Happy Birthday tickers

Tuesday 5 July 2011

Tips Bijak Asuhan Anak~ Part 2

Ya...seperti yang dijanjikan dalam post sebelum ini Part 2 akan lebih fokus kepada asuhan islamik. Kalau anda tertanya-tanya takkan begitu cepat? Jawapannya, bahan semua sudah depan mata cuma hendak atau tidak aje menaipnya di blog ini.

Rasulullah SAW bersabda: 
'Mulakanlah pengenalan kalimat La IIlaha Illallah kepada anak-anak kamu.'

Imam al-Ghazali: 
'Anak amanah bagi kedua-dua orang tuanya, dan hatinya yang suci adalah permata yang mahal harganya. Jika dibiasakan pada kebaikan dan diajarkan kebaikan padanya, maka ia akan tumbuh kebaikan itu dan akan bahagialah di dunia dan akhirat'

Dr. Abdullah Nasih Ulwan: 
'Kecemerlangan seorang anak adalah kesan daripada amalan dan pengalaman sejak kecil. Malah pendidikan anak dalam Islam telah bermula sejak anak dalam kandungan lagi. Walaupun bayi tidak boleh bercakap tetapi boleh mendengar. Dengan membaca ayat-ayat al-Quran dan zikrullah adalah permulaan untuk ibu mendidik anak dengan cara hidup Islam.

Ulama Islam telah membahagikan kepada 4 tahap mendidik anak-anak:

TAHAP PERTAMA~ Anak yang baru lahir sehingga mumayyiz (6 Tahun). Ibu bapa hendaklah banyak membelai dan bergurau senda bersama anak-anak dengan kasih sayang. (Diibaratkan seperti mana haiwan menjaga anak-anak)

  • Hargailah permainan kesayangan anak anda. Mereka juga akan belajar menghargai barangan anda.
  • Janganlah biarkan anak-anak tidur tanpa ciuman selamat malam. Jika anda pulang pada tengah malam dan mendapati anak sedang tidur, cium dahinya. Hubungan rohani tetap subur walaupun anak sedang tidur.
  • Ajar anak untuk cium tangan dan peluk penuh kasih sayang. Cara ini membuatkan kasih sayang ibu bapa dan anak-anak semakin mendalam.

TAHAP KEDUA~ Anak berusia 7 Tahun hingga baligh (14 Tahun). Hendaklah ibu bapa mendidik mereka dengan arahan, disiplin dan diberi tanggungjawab.

Sabda Rasulullah SAW: 
'Suruhlah anak-anak kamu bersolat pada usia tujuh tahun, dan pukullah mereka supaya mendirikan solat apabila mereka berusia sepuluh tahun'

  • Latih solat berjemaah. Mungkin sukar untuk permulaan. Tetapi ia akan jadi mudah kalau dijadikan rutin dan istiqamah.
  • Ajar anak tanggungjawab. Biarkan dia melakukan kerja rumah walaupun usia masih kecil. Kerja yang paling mudah ialah mengemas dan menguruskan dirinya.
  • Elak menuruti permintaan anak. Jelaskan kenapa anda tidak boleh memenuhi permintannya. Ia membantu anak-anak memahami tidak semua benda diperoleh dengan mudah tetapi mesti dilakukan dengan usaha.
  • Ucapkan tahniah. Tidak salah berikan pelukan dan ciuman sebagai tanda penghargaan.

TAHAP KETIGA~ Anak berusia 15 Tahun hingga dewasa (21 Tahun). Hendaklah diberikan didikan dengam cara berkawan, bertukar pendapat dan menghormati pendapat mereka selagi mana ia tidak bertentangan dengan syariat Islam.

TAHAP KEEMPAT~ Anak berusia lebih dari 21 Tahun sehingga dewasa. Ibu bapa hendaklah memberi kebebasan kepada anak-anak selagi tidak bertentangan dengan syariat Islam. Ibu bapa hanya bertindak sebagai penasihat supaya keadaan berada dalam terkawal.

Semoga post ini memberi manfaat kepada kita semua ye. Hakikatnya mendidik anak-anak ini tidak mempunyai formula khusus yang boleh kita sebagai ibu bapa aplikasikan. Cuma janganlah kita sesuka hati untuk 'try and error' pula. Timbalah ilmu dan dapatkanlah sebanyak ilmu mendidik anak dari yang berpengalaman...yang baik kita jadikan ikutan, yang kurang baik kita jadikan sempadan. Tak rugi kan?

Bagi ibu bekerjaya, terpaksa meninggalkan anak-anak ke rumah pengasuh mahupun taska, luangkanlah lebih masa yang berkualiti bersama anak-anak. Pengasuh tidak dapat menggantikan tugas sebagai ibu bapa sepanjang tempoh anak-anak ditinggalkan bersama pengasuh. Pengasuh hanya menjaga anak kita dengan bersyarat untuk dibayar dan kebanyakannya menjaga anak agar tidak mendapat kecederaan luaran. Tiada individu lain yang lebih memahami siapa anak melainkan ibu bapa sendiri. Apabila sikap anak dikenal pasti dengan lebih berkesan, ibu bapa dapat melaksanakan tindakan atau hukuman dengan lebih baik dan sesuai dengan sikap, kehendak dan keperibadian anak itu.

Masyaallah...nampak mudah kan? Hakikatnya hanya Allah sahaja mampu mempermudahkan semuanya. Ya Allah jadikanlah kami ibu bapa yang berjaya memikul amanah mendidik anak-anak kami ke jalan yang Kau redhai. Jadikanlah anak-anak kami anak-anak yang taat kepadaMu ya Allah. Mudahkanlah urusan kami dalam membesar, mendidik dan memimpin mereka untuk taat padaMu. Amin ya rabbalalamin. Semoga post ini memberi manfaat kepada anda semua juga ye. Wallahu'alam.  


No comments:

Post a Comment

Comment