Habib Abu Muhammad dikurnai Allah seorang isteri yang solehah. Semasa membangunkan suaminya solat tahajud beliau memberi rangsangan dan motivasi dengan berkata kepada suami tersayang: 'Malam telah berlalu, perjalanan di hadapan kita masih jauh, bekalan amal kita masih sedikit, sedang kafilah para solihin telah pun mara di hadapan kita, sementara kita di sini masih berlengah-lengah'. Isteri seterusnya menyambung: 'Wahai orang yang masih tidur malam hari, berapa lama anda akan terus tidur. Bangkitlah wahai kekasihku. Janji yang dituggu telah pun hampir. Rebutlah dari malam dan waktu malam (peluang melakukan) wirid dan munajatmu, di saat orang lain masih tidur nyenyak. Sesiapa yang tidur hingga malam berakhir, ia tidak akan mencapai martabat sehingga ia bergiat. Katakanlah kepada ulil albab dan ahli taqwa, saat pertemuan dengan Allah adalah destinasi yang kamu tuju'.
Amru bin al-'Ash berkata: 'Satu rakaat di waktu malam hari lebih baik dari sepuluh rakaat di siang hari'. Ini kerana solat malam jauh lebih tertutup dan mendamaikan dan lebih dekat kepada keikhlasan. Para genarasi salaf berusaha menyembunyikan solat tahajud mereka. Imam Hasan Basri berkata: 'Di antara lelaki salaf ada yang didatangi tetamu, lalu tuan rumah mengerjakan solat tahajud tanpa diketahui oleh para tetamunya. Mereka berdoa dengan penuh kesungguhan tanpa didengari oleh para tetamu mereka. Ada dikalangan mereka yang tidur sebantal dengan isterinya, si suami menangis ketika bermunajat semalaman tanpa didengari oleh si isteri sama sekali'.
Aisyah RA berkata: 'Janganlah kamu abaikan qiamullail, kerana Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkannya. Apabila baginda jatuh sakit atau agak kurang bersemangat, baginda akan melaksanakannya dalam keadaan duduk'.
Termasuk fadilat solat tahajud ialah menghapuskan dosa dan kesalahan, kerana anak adam tidak dapat lari daripada melakukan dosa di siang hari. Oleh itu kita digalakkan memperbanyak amalan untuk menghapuskan dosa-dosa ini. Sabda Rasulullah: 'Perihal hamba bertahajud di tengah malam adalah penghapus dosa dan kesalahan'. Lalu baginda membacakan ayat ini: 'Lambung mereka renggang dari tempat tidur mereka...' [Surah As-Sajdah (16)]. Hadis Riwayat Imam Ahmad.
Terdapat di dalam hadis bahawa orang-orang yang tekun melakukan tahajud akan memasuki syurga tanpa hisab. Rasullah SAW bersabda: 'Apabila kelak Allah menghimpunkan umat terdahulu dan terkemudian pada hari kiamat, datang seruan menghimbau dengan suara yang didengar oleh semua manusia'.
Himbauan ini berseru: 'Pada hari ini semua manusia akan tahu siapa yang sangat layak mendapat penghormatan dan penghargaan. Manakah orang-orang yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan jual beli dari zikrullah?' Maka orang-orang berkenaan pun bangkit, sedang jumlahnya sangat sedikit'. Himbauan tersebut selanjutnya berseru: 'Manakah orang-orang yang sentiasa memuji Allah semasa senang mahupun susah?' Maka orang-orang berkenaan bangkit, sedangkan jumlahnya sangat sedikit sekali. Setelah itu barulah manusia yang lain menjalani proses hisab. (Hadis riwayat Abi Dunia dan lain-lain).
Bersambung...di Part 2
No comments:
Post a Comment
Comment